Sabtu, 20 Oktober 2012

Sabut kelapa menghilang bau badan

Sabut kelapa menghilang bau badan. Khas untuk orang kampung sekitaran yang ada kebun kelapa, atau ada menanam sebatang dua pokok kelapa. Buah kelapa yang dikira sudah tua, selalunya akan dipetik dan dikopek (istilah orang Jawa Johor) untuk diambil isinya. Sabutnya banyak kegunaannya, jadi di sini saya cadangkan kita gunakan untuk menggantikan kain sintetik.
Kita tahu sabut kelapa juga mempunyai permukaan yang kasar teksturnya. Ini boleh digunakan untuk menggosok ketiak, di mana punca bagi kebanyak bau badan. Sebelum digunakan, gunakan kreativiti anda sendiri untuk menjadikannya sebagai penggosok badan, terutama bahagian ketiak. Tekstur yang kasar itulah yang berfungsi untuk mengikis belulang kering (yang basah lembap ketika kena air mandi).
Bubuh sedikit sabun mandi kepada sabut itu, dan gosokkan ke badan. Sudah tentulah anda kena berhati-hati jika menggosok di bahagian-bahagian tertentu yang lembut-lembut. Jika boleh gunakan untuk menggosok ketiak sahaja, jangan untuk bahagian-bahagian yang pernah saya sebut sebelum ini. Seperti biasa, selepas mandi kita runjiskan body splash mengikut cara yang telah saya cadangkan dulu. InsyaAllah bau badah anda akan lenyap seperti mana kita menggunakan kain tuala sintetik.
Sabut ni, masalahnya tidak sesuai untuk dibawa travel, dan menginap di hotel-hotel, atau di rumah sahabat handai, maklumlah.... saya biasa menggunakan sabut kelapa untuk menggosok badan ketika mandi, kerana pada masa itu sekitaran tahun-tahun 1954-60 alat kemudahan mandi tidak seperti hari ini. Jadi penggunaan sabut memang berleluasa. Ketika itu kami mandi bukan dalam bilik air seperti sekarang, tetapi sekadar menggunakan ruang mandi yang didinding dengan daun kelapa kering yang dipacakkan keliling bagi mengelakkan dari dilihat orang. Itu sebabnya banyak cerita tentang ada anak-anak muda kampung mengendap orang mandi dengan cara memanjat pokok kelapa, jadi nampaklah apa yang berlaku di dalam 'bilik mandi kampung' itu. Percaya tak? Nak rasa air paip memang jauh panggang dari api. Kami hanya menggunakan air hujan yang ditadah dalam tempayan. Pada musim-musim kemarau adalah bantuan dari JKR yang menghantar air dengan lori, dan setiap orang hanya dibenarkan mengambilnya lebih dari dua tin minyak tanah (tahu tak?) hanya untuk minum dan memasak je. OK cukuplah tu dah meleret pula.
Jadi, selamat mencuba menggunakan sabut kelapa. Atas tanggungjawab sendiri!

Tiada ulasan: